ISTERI saya baru melahirkan anak pertama yang kini berusia
dua bulan lebih. Masalahnya, sejak melahirkan anak, faraj isteri saya
terus kering yang menyukarkan hubungan kami kerana dia berasa sangat
pedih meskipun menggunakan krim.
Dia tidak mengalami keputihan dan kadangkala farajnya berbau. Untuk
pengetahuan doktor, isteri saya bersalin secara pembedahan manakala
kesan pembedahan itu ada kalanya bernanah dan sedikit berdarah. Harap
doktor dapat membantu.
SHAM
Port Dickson, Negeri Sembilan
BAGI wanita, terdapat cecair pelincir yang dihasilkan oleh sepasang
kelenjar Bartholin yang terdapat pada bahagian dalam dan berhampiran
pintu masuk faraj.
Cecair ini penting dan hanya dihasilkan sekiranya
wanita mengalami rangsangan seksual. Sekiranya wanita terbabit tidak
terangsang, cecair pelincir ini tidak dihasilkan dan pasangan merasa
kering serta tidak selesa untuk melakukan seks penetratif.
Anda tidak menyatakan mengapa isteri anda terpaksa bersalin secara
pembedahan. Kadangkala, trauma pengalaman proses bersalin, lebih-lebih
lagi sekiranya bermasalah, sedikit-sebanyak mempengaruhi emosi seseorang
ibu untuk hamil lagi (kerana belum bersedia untuk menempuh trauma
bersalin seperti dulu).
Faraj berbau mungkin petanda jangkitan kuman. Jangkitan kuman
lazimnya mendatangkan lelehan, sama ada berwarna keputihan, kehijauan
malah boleh juga jernih tetapi berbuih.
Jangkitan kuman pada dinding
faraj boleh membentuk peradangan pada tisu faraj dan menyebabkan
kepedihan (akibat luka seperti melecet).
Kepedihan atau kesakitan ini
akan turut memberi kesan tambahan kepada mood dirinya dan tiada cecair
pelincir yang dihasilkan oleh kelenjar Bartholinnya.
Anda boleh membawa isteri mendapatkan pemeriksaan
doktor lebih-lebih lagi luka pada kulitnya masih mengeluarkan nanah atau
darah walaupun setelah lebih dua bulan bersalin. Bagaimanapun,
jangkitan pada parut kulit tidak semestinya bermakna rahimnya turut
mengalami jangkitan sehingga membabitkan bau dari faraj.
Pada masa sama,
isteri harus belajar “melupakan” trauma bersalin lalu. Kebimbangannya
terhadap kemungkinan hamil lagi dalam masa terdekat boleh dibuang
sekiranya dia menggunakan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.
Tambahan pula, bagi wanita yang baru saja menjalani pembedahan
Caesarean, dinasihatkan untuk menjarakkan kehamilan bagi satu tempoh
seperti yang diberitahu oleh doktor masing-masing. Kebanyakan doktor
menyarankan jarak satu setengah sehingga dua tahun.
No comments:
Post a Comment